Tuesday, February 24, 2009

Jadi Pecinta

Alhamdulillah, selesai OSCE Paeds siang tadi. Masih berbaki satu OSCE sebelum final 9 minggu lagi. Saya menjenguk blog kawan-kawan, ramai dah 'hibernate' sampai final nanti. Saya pula tiba-tiba semangat untuk menulis.

Alhamdulillah, banyak perkembangan positif berlaku di sekeliling saya akhir-akhir ini. Saya yang pada mulanya berhajat untuk membekukan diri dari sebarang aktiviti, akhirnya terpaksa mengalah. Nikmat Allah datang mencurah-curah. Sangat rugilah andai saya melepaskannya kerana konon-kononnya mahu fokus kepada peperiksaan. Kalau nak diikutkan, keputusan peperiksaan tu dah wujud pun sebelum saya lahir lagi, apalah yang nak dirisaukan sangat. Tapi, itulah manusia.

Antara perkara yang bermain-main di hati - saya sangat rindukan anak-anak singa. Kata orang, absence makes heart grow fonder. Moga-moga entry ini berjaya menjadi pengubat rindu saya pada kalian. Terimalah, entry khas buat anak-anak singa dan sebagai peringatan buat diri sendiri.

Berbicara tentang rindu, tentu tak lepas daripada soal cinta. Pernah dengar tak orang kata, MURABBI MESTI MENJADI PECINTA. Tapi, kepada siapa? Tentulah kepada mutarabbinya. Hmm, sebab kita berdakwah dan mentarbiyah kan dengan kasih sayang? Pernah tak tengok orang bercinta? Dia akan cuba menyukai apa yang pasangan dia suka. Dia akan cuba mencari sebanyak mungkin maklumat tentang apa yang temannya gemari. Maka, sepatutnya kita pun begitulah. Tapi, selalunya yang berlaku adalah sebaliknya,
"Janganlah minum kopi depan akak. Kan akak cakap akak tak suka bau kopi."
"Dah banyak kali akak cakap, awak tak ingat ke?"
"Awak ni tak reti-reti ke nak basuh pinggan lepas makan?"

Huhuhu. Apa perasaan kita kalau orang cakap macam tu? Benda kecil pun nak dibesarkan. Kita selalu nak orang ingat apa yang kita tak suka, tapi jarang nak ingat tentang orang lain. Bukankah seorang pecinta itu menerima buruk baik yang dicintainya dengan hati terbuka? Seperti kata orang, unconditional love, tidak mengharapkan balasan. Barulah jadi 'mencintai saudara seperti mencintai diri sendiri'. Kita sayang diri sendiri ada harapkan sesuatu ke? Dengan itu, akan lahirlah berlapang dada, ithar dan lain-lain. Maka, adalah lebih wajar kakak-kakak (baca:murabbi) yang lebih proaktif dalam menjaga hubungan, memaafkan kesalahan adik-adik (baca:mutarabbi) yang mungkin tersilap, terlupa atau tak sengaja.

Em, mesti orang kata, "susahnya nak jadi kakak." Betul. Bukan mudah menjadi seorang kakak, perlu bersedia menerima macam-macam, samada daripada adik-adik mahupun orang lain. Mungkin ada adik-adik yang tak puas hati dengan kakak-kakak, kenapa kakak dia tak macam kakak orang lain. Mungkin juga ada orang lain yang menyalahkan kakak-kakak atas kesilapan adik-adik, kakak tak pandai didik adik. Semua tu normal. Jadi kakak memang macam tu, kena banyak sabar, mesti sanggup berkorban, makan hati, terasa, kena sindir, orang buat tak tau, merajuk tapi takde orang nak pujuk dan seterusnya. Saya setuju, spesies ni memang susah nak jumpa, pelik, tapi mereka wujud dan kita akan berusaha untuk menjadi mereka.

Kakak-kakak pun perlu tabah dan jangan mudah kecewa dengan adik-adik yang 'kurang menjadi'. Terdengar suara-suara,
"Dah banyak kali saya cakap elok-elok, dia bukannya nak dengar."
"Dah lama saya cuba, dia masih tak berubah."
"Penat dah saya ulang, dia macam tu jugak."
"Berbuih dah mulut saya ni, dia tak makin baik pun."
Takpe, teruskan je sebab kita tak tahu bila Allah akan buka hati dia, bila dia akan tersentuh dengan kata-kata kita. Tapi, janganlah ulang macam burung kakak tua tu. Luahkan dengan penuh kasih sayang, ok? Kita perlu meletakkan diri di tengah-tengah masyarakat adik-adik untuk lebih memahami mereka, kena 'pakai kasut mereka.' Hmmm.... nama pun adik-adik kan, memangla macam tu. Kena pimpin tangan ke mana-mana, kena teman sentiasa (macam orang bercinta), kena bagi nasihat selalu, kena peringat selalu, kena rajin ulang. Kalau tak, mesti nama dia kakak-kakak. Hehehe. Bina terus hubungan dan beri masa pada mereka. Masa sebahagian dari penyelesaian. Mungkin sehari, seminggu, sebulan, setahun, sepuluh tahun. Hanya Allah yang tahu. Sabarlah. Itulah sunnah dakwah, memerlukan masa yang lama. Jangan mudah putus asa.

Walau sesusah mana pun untuk menjadi kakak, kita kena cuba dengan kemampuan yang kita ada. Buat kerja dakwah dan tarbiyah ni memang macam tu. Awal-awal memang kita sendiri pun rasa kekok, rasa tak mampu. Tapi, kena usaha juga. Jangan takut untuk buat silap, sebab kita pasti buat silap sebelum berjaya. Kadang-kadang kita terlalu banyak salah tingkah sampai tak tau nak buat apa dah, tapi kena buat juga. Salah tingkah pun salahlah, jangan tak buat langsung. Yang lain, biar Allah buat. Samada nak buka hati adik-adik untuk kita atau tidak, semua tu serah pada Allah. Kalau kita tak nak buat kerja ni, Allah akan bagi kat orang lain. Allah tak rugi apa-apa pun sebenarnya.

Mungkin ada orang akan kata, kita bukanlah orang yang paling layak untuk membimbing.
"Ala diri sendiri pun tak settled, nak tegur-tegur orang."
"Macamla dia tu baik sangat, nak baiki orang lain konon."
Secara zahirnya, memang begitu. Tapi, kalau kita teliti dalam-dalam, sebenarnya golongan yang cuba untuk menjadi kakak ni berada dalam situasi mujahadah dalam mengislah diri sendiri dan pada masa yang sama, walaupun diri sendiri banyak kekurangan, tetap mencuba untuk mengislah orang lain (semoga kita termasuk dalam golongan ini). Kalau kita bandingkan dengan orang lain yang tak pernah prihatin dengan pengislahan diri sendiri, apatah lagi dengan pengislahan orang lain, mana lebih baik?

Di sini, saya ingin simpulkan semua yang saya bebel panjang-panjang dengan satu ayat al-Quran, surah al-Maidah 5: ayat 54. Kalau malas nak baca yang saya taip kat atas tu, boleh baca ayat ni je, lebih ringkas, lebih padat dan lebih indah.

"Wahai orang-orang yang beriman! Barangsiapa di antara kamu yang berpaling dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum, Dia mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, dan bersikap lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman, tetapi bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itulah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), Maha Mengetahui".

Buat anak-anak singa, maafkan akak belum mampu jadi pecinta sempurna. Jom sama-sama kita saling cinta-mencintai dan menjadi kakak yang baik.