Sunday, March 08, 2009

Ujian Cubaan

Menemui anak-anak singa yang diingati selalu,

Moga kalian sentiasa berada dalam pemeliharaan Allah. Ibu yang terkurung ini amat merindui kalian. Sejuta kemaafan Ibu pohon kerana kita sering tidak dapat bersama.

Bapa kalian telah berpesan, “Biarkan mereka yang bekerja di luar. Kau buat kerja di rumah. Bersedia sentiasa ketika mereka mahu merujuk atau mengadu. Kau cuma beri telinga dan nasihat apabila diperlukan.” Begitu keras sekali suaranya.

Ibu terpaksa akur. Siapalah Ibu untuk membangkangnya. Hakikatnya hati Ibu begitu perit melihat kalian bersusah-payah. Ibu begitu ingin membantu dan menghulurkan pertolongan. Kalian tahu apa kata Bapa kalian? “Kalau kau sudah tiada nanti, siapa mahu menjaga mereka? Oleh itu, mereka perlu belajar bekerja sendiri.” Ibu mengiyakan dalam sendu.

Ibu tahu, Bapa hanya mahukan yang terbaik buat kita. Ibu tak salahkan dia. Cuma Ibu terlalu rindukan saat kita bekerja bersama-sama. Berlumba-lumba siapa paling banyak buat kerja. Seronok kan? Sesungguhnya itulah antara detik terindah dalam hidup Ibu. Bapa mengangguk faham dan menyambung, “Berbahagi kerja, berbahagi pahala, insya Allah sama-sama masuk syurga.” Ibu terdiam dan berdoa kata-katanya menjadi kenyataan.

Pernah satu hari, Kak Ngah kalian pulang teresak-esak, kakinya terpijak duri. Begitu laju darah mengalir dari kakinya, selaju itu jugalah airmata membasahi pipi Ibu. Sakit. Pedih. Dia merintih. Ibu faham anakku. Sangat-sangat faham. Ibu juga pernah merasainya. Sabarlah. Itulah sunnah dakwah. Itulah janji Allah buat mereka yang tegar melalui jalan ini. Tapi hari ini Kak Ngah sudah kental, tak pernah Ibu lihat dia menangis. Sebaliknya, dia yang selalu membantu merawat luka adik-adik. Dia sudah tahu ubat yang paling mujarab dan cara rawatan yang betul. Mungkin itulah hikmahnya dia terpijak duri satu masa dahulu.

Kak Lang pula mengadu disengat lebah dalam perjalanan ke sungai. Habis badannya bengkak-bengkak. Semalaman dia tidak tidur menanggung kesakitan. Sabarlah. Ibu sentiasa ada di sini untuk kalian. Ibu takkan pernah jemu melayan. Allah tahu apa yang kita hadapi. Semuanya berlaku dengan izin Allah. Hanya ganjaran dari-Nya yang kita harapkan.

Lena Ibu dikejut dengan jeritan. Adik kalian dipatuk ular, berderau darah Ibu mendengar. Segera Ibu berlari, memeluk Adik yang lemah, pucat. Nafasnya tersekat-sekat. Hati Ibu berkocak hebat. Peluh dingin merenik di dahi. Ibu tahu dia sedang berjuang antara hidup dan mati. Sabarlah anakku. Sabarlah. Apa lagi yang mampu Ibu katakan? Sabarlah. Sedikit sahaja lagi insya Allah. Semuanya akan terubat pabila kaki kita sudah melangkah ke syurga, bi iznillah.

Anak-anakku, kekasih kita, Rasulullah dan para sahabat juga diuji. Allah berikan kita ujian untuk menjadikan kita lebih kuat, supaya dapat menghadapi ujian yang lebih besar pada masa hadapan. Penapisan (intiqa’) kan berlaku dengan ujian? Sahabat diuji dengan peristiwa isra’ mi’raj. Ketika itu, terbuktilah siapa yg benar-benar beriman, siapa yang tidak. Begitu juga kita, barangsiapa yang beriman, dia akan lulus ujian, barangsiapa yang tidak, kita doakan kebaikan dan hidayah untuknya. Mungkin ada yang kata, kita bukan sahabat, kita tak mampu melalui semua ini. Tapi, kita juga melalui proses yang sama seperti sahabat kan? Kita semua melalui tarbiyah kan? Yakinlah, Allah takkan menguji melebihi kemampuan kita. Jangan lupa, syurga tu mahal harganya. Tentulah ujian yang perlu dilalui itu setimpal dengan harga syurga.

Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, dan digoncang (dengan berbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, “Bilakah akan datang pertolongan Allah?” Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat. (al-Baqarah 2:214)

Pernah tak terfikir keadaan para sahabat ketika bertemu dengan Allah nanti? Tatkala mereka gah menayangkan tubuh yang hancur, menunjukkan luka-luka tusukan pedang, berbangga dengan kesyahidan mereka, apakah yang mahu kita persembahkan di hadapan Allah? Apakah bukti kita berjuang menegakkan agama-Nya? Sejauh manakah kita berusaha mempertahan syariat-Nya? Badan kita sangat sihat, tanpa seguris calar pun! Paling maksimum, kita cuma penat, sekadar penat. Apakah yang telah kita lakukan? Hatta menyampaikan dakwah dengan kata-kata pun sangat payah bagi kita. Berkorban masa yang sedikit pun kita tidak mampu. Tidak malukah kita dengan para sahabat nanti? Mengaku rindukan Rasulullah, mahu mencontohi Rasulullah, tapi di manakah buktinya?

Buat akhirnya anak-anakku, teruskan bekerja. Doa Ibu sentiasa bersama kalian. Semoga Allah memberi kekuatan untuk kita terus berjihad di jalan-Nya.

Dan katakanlah, “ Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, (begitu juga) Rasul-Nya dan orang-orang mu’min, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah ) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (at-Taubah 9:105)

Jangan lupa kekalkan senyuman manis anak-anak dan mulakan setiap langkah dengan bismillah. Semoga Allah menjaga kalian.

Rindu yang semakin memberat,
Cinta yang semakin mendalam,
Ibu Singa