Saturday, August 23, 2008

Ikatan Hati

Setelah lama tidak menjenguk ke blog, tergerak hati untuk membuka blog lama. Terjumpa antara entry yang saya suka. Bukan suka kerana saya adalah penulisnya, tetapi kerana ia dapat mengingatkan saya perkara-perkara yang saya sering lupa. Moga kalian turut mendapat manfaat daripadanya.

Didedikasi khusus buat sahabat-sahabat dari Dublin, Cork, Galway, Manchester, Sheffield, Australia, UKM, Malaysia, Brunei, dan lain-lain (maaf kalau ada yang tak dapat disebut). Kalian tetap di hati. Miss all of you so much! Terimalah tandahati yang tak seberapa ini daripada teman kalian di Jordan.

Malam itu, aku memberanikan diri mendail nombor telefon rumahmu. Dadaku berdebar-debar tatkala mendengar suaramu di hujung talian. Takut menghadapi reaksi yang bakal kau berikan. Mujur kau tenang mendengar bicaraku. Namun, ketegasanmu menggugat keberanianku. Janji diikat, pertemuan diatur. Aku lega, alhamdulillah. Setelah empat tahun mengimpi, kini bakal menjadi realiti. Mungkin Allah sengaja mahu menguji, keyakinan sekeping hati, akan janji Ilahi.

Pagi itu sungguh hening dan damai, sedamai hati ini. Kunanti detik teristimewa itu dengan penuh kesabaran. Kicauan beburung seakan memujukku agar tidak cemas. Kau kulihat tersenyum dari jauh. Aku membalas senyumanmu yang membuahkan kemesraan antara kita. Maka bermulalah detik-detik terindah itu. Kau menghampiriku, lalu memberi salam. Aku pantas menjawab dan kita berjabat tangan. Kau memohon maaf atas keterlewatanmu. Aku sekadar tersenyum. Kehadiranmu sudah cukup untuk membuatkan aku terlupa tentang waktu.

Aku banyak mendiamkan diri, lebih senang melihat bibir comelmu meluahkan kata, lebih suka merenung matamu yang dihiasi bunga-bunga keriangan. Tutur katamu penuh hikmah, sarat dengan semangat dan padat dengan penyubur nurani. Sangat menyentuh hati. Sesekali kau tertawa, menerbitkan perasaan gembira di jiwa. Alangkah bahagianya tika ini. Walau baru seminit dua bertentang mata, terasa bagai telah mengenalimu bertahun lamanya. Aku memerhatikanmu dari atas ke bawah. Kau kelihatan sungguh cantik berblaus biru tua yang bersulam di hujung baju, berseluar slack dan bertudung Turki warna senada. Simple, tapi cukup menarik.

Tanpa disedari, kita tiba di destinasi. Berat hatiku mahu menyusun langkah. Masa terlalu mencemburui kita. Belum puas rasanya mendengar bicaramu. Walau baru pertama kali bertemu, bagai ada simpulan yang mengikat kita. Di luar, kelihatan sudah ramai sahabat yang menunggu. Nampaknya, kita sampai tepat pada masanya.

Sebuah banglo satu tingkat tersergam indah di hadapanku. Kolam renangnya yang membiru, beralun tenang disapa angin. Menggamit hati untuk segera mendekatinya. Bagai ada satu kuasa yang menarik-narikku ke arah banglo itu. Tiba-tiba, langkahku terhenti. Aku terpana. Kehilangan kata-kata. Memori silam bagai diselak. Aku cuba mengingati sesuatu. Ya, aku pernah ke banglo ini! Walaupun warna catnya sudah luntur, pagarnya sudah berkarat, tapi aku masih ingat lagi. Aku pernah ke sini enam tahun yang lalu. Ketika aku mula-mula belajar erti perjuangan. Di sinilah aku tercampak. Belajar bertatih, mengatur tapak, sebelum berlatih berjalan, dan akhirnya mampu berlari, insya Allah.

Dan kali ini, banglo ini sekali lagi mencatat sejarah, menyaksikan pertemuanku dengan tiga tokoh teragung dalam hidupku. Walaupun bagi orang lain mereka cuma insan biasa, bagiku merekalah murabbi hati dan jiwa ini. Hampir empat tahun tidak bertemu. Rasa rindu di dada bagai membuak-buak apabila melihat wajah mereka. Terasa bagai ingin mengalirkan airmata apabila wajah-wajah itu masih mengenali diriku, masih sudi menghadiahkanku seraut senyuman.

Dari jauh kelihatan Tokoh H hadir bersama isterinya. Beliau masih seperti dahulu, masih bersemangat dan bertenaga. Beliau mengenaliku ketika aku baru sahaja melihat dunia ini. Beliau juga pernah mendukungku ketika aku masih kecil. Namun, aku baru sahaja menyedari kewujudannya kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Dilihat dari segi pemakaian dan perwatakan beliau, tiada siapa akan menyangka, beliau mempunyai ijazah dalam bidang kejuruteraan. Aku suka mendengar bicaranya, mampu membangkitkan semangat manusia, berkuasa mengejutkan yang terlena. Beliau telah membuka mindaku, melapangkan hatiku. Dunia ini bukanlah sekadar yang dapat dilihat dengan mata kasar. Aku mulai sedar, kita hidup bukan untuk diri sendiri, usia bukan penghalang untuk berjuang. Beliau pernah mengingatkan, ‘output tanpa input akan menjadikan kita kontang.’

Tokoh R masih petah berbicara, Seperti biasa, kata-katanya pasti tidak berjaya membuatkan aku mengantuk apatah lagi tertidur. Beliau hadir dalam hidupku ketika aku baru melangkah ke alam menengah. Banyak yang diajarkan kepadaku. Tanganku dipimpin, langkahku dibimbing. Menjadikanku cekal, mampu berdikari. Lima tahun menjadi anak didiknya, saat terindah dalam hidupku. Memberi tunjuk ajar dan nasihat dalam setiap tindakan yang bakal kuambil. Beliau terlalu mengambil berat akan diriku. Cukuplah sekadar “kenapa ni?” lahir dari mulut beliau, aku pasti menghamburkan air mata, sangat terharu. Setiap kali bertemu empat mata dengannya, berbincang soal perjuangan, air mataku pasti menitis. Nyata, begitu tinggi harapannya padaku. Dan aku? Aku langsung tidak layak memikul tanggungjawab itu. Maafkanku kerana menghancurkan harapanmu. Aku akan sentiasa ingat pesan beliau, ‘apa yang paling berkesan dalam tarbiyah adalah kebersamaan.’

Tuturnya yang istimewa, membuatkan aku kagum. Butir bicaranya seolah-olah dihafal dari buku satu persatu. Mendengar ceritanya bisa membuatkan aku terlupa berada di dunia. Kisah-kisah pejuang Islam yang sering diperdengar, seakan azimat buat meniti bara api sepanjang jalan perjuangan ini. Beliau banyak memberikan peluang kepada anak-anak didiknya menyuarakan pendapat. Kami terasa dihargai diberi peluang sebegitu. Terima kasih… Tokoh Z kukenali ketika usia mula menginjak dewasa, saat jiwa remaja suka memberontak. Ketegasannya sering membuatkan kedegilanku memuncak. Pernah kuingkar titahnya lantaran amarah yang melonjak. Betapa ketika itu aku gagal bertindak bijak. Aku menyesal. Aku memohon maaf atas keterlanjuranku itu. Harapanku agar beliau maafkan. Memetik kata-kata beliau tempohari, ‘berilah supaya dapat diambil manfaat oleh orang lain, tanamlah supaya dapat dituai oleh orang lain, dan penatlah supaya orang lain dapat rehat.’

Aku sungguh gembira dengan pertemuan semula ini. Aku berharap mereka dapat mendengar suara hatiku. Entah mengapa, setiap kali berhadapan dengan mereka, lidahku menjadi kelu. Tak sepatah pun bisa terucap, tiada satu kalimah pun dapat diluah, walaupun dalam hati, banyak yang ingin kukatakan. Segankah aku? Aku terlalu ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala yang mereka curahkan. Aku juga ingin memohon ampun dan maaf atas kesalahan dan kesilapan yang dilakukan.

Eh, hampirku terlupa tentangmu. Maafkanku, teman. Pabila berbicara tentang tokoh-tokoh yang kukagumi, kadang-kadang aku menjadi terlalu asyik. Petang itu, kau kelihatan sangat gembira berenang bersama teman-teman. Gelagatmu banyak mebuatkan aku tertawa. Aku malas mahu membasahkan baju, sekadar bersantai di tepi kolam sudah memadai. Melihat keriangan kalian, bersembang bersama teman-teman akan pengalaman perjuangan, aku menyedari betapa banyaknya nikmat yang Allah kurniakan. Aku bersyukur diberi peluang menjejakkan kaki ke sini lagi. Aku bersyukur dapat mengenali kau dan sahabat-sahabat kita, alhamdulillah.

Masih jelas terbayang di ruang mata, kita mengambil giliran untuk berwudhu’. Senja itu, aku mendapat giliran terakhir menjadi pengguna bilik air. Alangkah sedihnya terpaksa masbuq di saf terakhir di belakang imam. Selesai solat Maghrib berjemaah, kita membaca ma’thurat dalam halaqah. Menghidupkan sunnah Rasulullah, itulah manhaj kita ditarbiyah. Sementara menunggu waktu Isyak, kita bertilawah al-Quran. Suaramu yang merdu mengalunkan kalamullah, terasa menusuk ke kalbu. Kau memperbetulkan bacaanku. Terasa sudah lama aku tak ditegur begitu. Aku terlalu rindu suasana yang indah ini. Hidupku kini dikelilingi orang yang nafsi-nafsi. Aku lemas, aku rimas. Selepas menunaikan solat Isya’, kita bersalam-salaman, memohon kemaafan atas kesilapan.

Tiba saat menjamu selera, satu talam kongsi berlima. Seorang membaca doa, yang lain mengaminkan, mula makan bersama-sama. Semua senyap tanpa suara, menikmati hidangan yang tersedia. Sesekali terdengar derai ketawa pabila ada yang membuat jenaka. Kala ini, kehangatan ukhuwwah begitu terasa. Walau sekadar berlaukkan ikan kering atau sambal telur, sudah terlalu lazat buat kita. Kita sedar, masih ramai lagi saudara kita yang kebuluran, tidak dapat menjamah walau sebutir nasi pun dalam sehari.

Pada akhir malam yang tenang itu, kau mengejutkanku dari lena dibuai mimpi. Berat hati meninggalkan selimut dan bantal yang empuk. Tetapi, segeraku teringat kata-kata yang terkesan di hati, ‘sejarah tak pernah melahirkan tokoh-tokoh kecuali oleh madrasah qiamullail.’ Pantas aku bangkit membersihkan diri, kita qiam jama’ie. Solat tahajjud, witir, melupakan sejenak urusan dunia. Nikmat qiamullail memang tak dapat ditafsirkan dengan kata-kata. Sungguh syahdu, sungguh manis. Saat bertemu ar-Rahman di kala orang lain berdengkur.

Banglo ini menyimpan seribu kenangan, terlalu bermakna buatku. Di sini kita ditemukan, di sini kita menjalin ukhuwwah. Andai dulu aku pernah ke sini untuk belajar mengutip mutiara, kini aku ke mari untuk menggilap mutiara itu agar tidak pudar ditelan usia. Aku pasti akan kembali lagi satu hari nanti, bagi memastikan mutiara ini diwarisi, insya Allah.

Terasa cepat benar masa berlalu. Banglo ini harus ditinggalkan. Perjuangan perlu diteruskan. Pertemuan kita perlu menemui noktahnya. Masa untuk memberi pamitan menjelang tiba. Waktu untuk mengucapkan selamat tinggal hampir menjelma. Tetapi, tidak ikatan hati kita dan ingatan kita antara satu sama lain. Walau kita terpisah beribu-ribu batu namun, jauh di mata, dekat di hati. Aku yakin, kita pasti bertemu kembali. Andai tidak di dunia, aku berdoa kita ditemukan di syurga. Ameen.

Sahabat, memori kita bersama pasti kuabadikan untuk selamanya. Kenang daku dalam doamu. Aku memohon kepada-Nya, semoga ukhuwwah yang didasari ikatan aqidah ini terus mekar dan subur untuk selama-lamanya dengan disirami redha Allah. Alangkah indahnya ukhuwwah yang terbina. Betapa manisnya silaturrahim yang terjalin. Yakinlah, walau kita tak sehaluan, kita masih seiringan, matlamat kita tetap satu. Akhirnya, buat sahabat, ‘perjalanan ini masih jauh, selagi nadi masih berdenyut, selagi jantung masih berdegup, selagi darah masih mengalir, selagi nafas masih berhembus, selagi mata masih berkelip, teruskan perjuangan.’ Inni uhibbukum fillah.


Diadaptasi dari sebuah kisah benar,
‘banglo itu’,
bumi K,
Jun 2005.