Wednesday, June 03, 2009

Terima kasih Allah

Alhamdulillah thummalhamdulillah thummalhamdulillah

Setinggi syukur ke hadrat Allah kerana masih memberi peluang untuk kita hidup dan menikmati nikmat iman dan Islam. Alhamdulillah, dengan izinnya saya berjaya menamatkan pengajian di bumi Jordan ini.

Adik-adik ada yang meminta saya menulis pengalaman ber'exam' untuk dijadikan panduan. Tapi, saya tak tahu mahu mula dari mana. Insya Allah saya akan berikan tajuk-tajuk yang saya dapat semasa oral dalam entri kali ini.

Surgery:
1. Surgical drains - Dr Fahmi Eqab
2. 1 day post-op fever - Dr Nawaf Shatnawi
3. Pathophysiology and causes of acute appendicitis - Dr Mohamed al-Ghazw
4. Signs, symptoms and investigations of acute appendicitis - Dr Abdul Karim Omari

Obs & Gyne
1. Contraceptions - Dr Mahmoud (askari)
2. Endometriosis and adenomyosis - Dr Nael Obeidat
3. Incomplete abortion - Dr Fayez Jallad
* di sini ada satu station obs dan satu station gyne walaupun kadang-kadang tak nampak beza sangat.

Pediatrics
1. Neonatal sepsis - external examiner dr Iowa
2. Chronic Granulomatous Disease - Dr Wael Hayajneh
3. Foreign body aspiration - Dr Suleyman Suwaidan
4. Nephrotic syndrome - external examiner dr JU
* untuk Pedes, satu hari hanya ada dua set soalan. Satu set ada 4 soalan. Maksudnya, satu hari hanya ada 8 tajuk dan tajuk-tajuk tersebut tidak diulang pada hari berikutnya. Di sini kami telah spot soalan yg bakal keluar. Alhamdulillah, 2 tajuk keluar. Tapi, tajuk lain kena baca juga tau. Tahun depan tak tahu macam mana. Wallahua'lam.

Internal medicine
1. Jones criteria for Rheumatic fever - tak pasti Dr ni askari atau dari Basmah
2. ECG yang menunjukkan atrial fibrillation - Dr Abdullah Saadah
3. Pulmonary embolism - Dr Abdullah Saadah
4. Bacterial pneumonia - external examiner dr Iowa
5. Dr Niazy Abu Farsakh tanya soalan spot. Maka, banyakla soalannya. Antaranya, side effects of thiazide, treatment for malignant hypertension, iron deficiency anemia.

Diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu walaupun oral seterusnya ialah tahun hadapan. Jangan takut-takut, Allah ada dan Allah adalah sangat sweet. =)

Ya Allah, kurniakan kami keputusan terbaik, anugerahkan kami taqdir paling cantik. Ameen ya Rabb.

Sunday, March 08, 2009

Ujian Cubaan

Menemui anak-anak singa yang diingati selalu,

Moga kalian sentiasa berada dalam pemeliharaan Allah. Ibu yang terkurung ini amat merindui kalian. Sejuta kemaafan Ibu pohon kerana kita sering tidak dapat bersama.

Bapa kalian telah berpesan, “Biarkan mereka yang bekerja di luar. Kau buat kerja di rumah. Bersedia sentiasa ketika mereka mahu merujuk atau mengadu. Kau cuma beri telinga dan nasihat apabila diperlukan.” Begitu keras sekali suaranya.

Ibu terpaksa akur. Siapalah Ibu untuk membangkangnya. Hakikatnya hati Ibu begitu perit melihat kalian bersusah-payah. Ibu begitu ingin membantu dan menghulurkan pertolongan. Kalian tahu apa kata Bapa kalian? “Kalau kau sudah tiada nanti, siapa mahu menjaga mereka? Oleh itu, mereka perlu belajar bekerja sendiri.” Ibu mengiyakan dalam sendu.

Ibu tahu, Bapa hanya mahukan yang terbaik buat kita. Ibu tak salahkan dia. Cuma Ibu terlalu rindukan saat kita bekerja bersama-sama. Berlumba-lumba siapa paling banyak buat kerja. Seronok kan? Sesungguhnya itulah antara detik terindah dalam hidup Ibu. Bapa mengangguk faham dan menyambung, “Berbahagi kerja, berbahagi pahala, insya Allah sama-sama masuk syurga.” Ibu terdiam dan berdoa kata-katanya menjadi kenyataan.

Pernah satu hari, Kak Ngah kalian pulang teresak-esak, kakinya terpijak duri. Begitu laju darah mengalir dari kakinya, selaju itu jugalah airmata membasahi pipi Ibu. Sakit. Pedih. Dia merintih. Ibu faham anakku. Sangat-sangat faham. Ibu juga pernah merasainya. Sabarlah. Itulah sunnah dakwah. Itulah janji Allah buat mereka yang tegar melalui jalan ini. Tapi hari ini Kak Ngah sudah kental, tak pernah Ibu lihat dia menangis. Sebaliknya, dia yang selalu membantu merawat luka adik-adik. Dia sudah tahu ubat yang paling mujarab dan cara rawatan yang betul. Mungkin itulah hikmahnya dia terpijak duri satu masa dahulu.

Kak Lang pula mengadu disengat lebah dalam perjalanan ke sungai. Habis badannya bengkak-bengkak. Semalaman dia tidak tidur menanggung kesakitan. Sabarlah. Ibu sentiasa ada di sini untuk kalian. Ibu takkan pernah jemu melayan. Allah tahu apa yang kita hadapi. Semuanya berlaku dengan izin Allah. Hanya ganjaran dari-Nya yang kita harapkan.

Lena Ibu dikejut dengan jeritan. Adik kalian dipatuk ular, berderau darah Ibu mendengar. Segera Ibu berlari, memeluk Adik yang lemah, pucat. Nafasnya tersekat-sekat. Hati Ibu berkocak hebat. Peluh dingin merenik di dahi. Ibu tahu dia sedang berjuang antara hidup dan mati. Sabarlah anakku. Sabarlah. Apa lagi yang mampu Ibu katakan? Sabarlah. Sedikit sahaja lagi insya Allah. Semuanya akan terubat pabila kaki kita sudah melangkah ke syurga, bi iznillah.

Anak-anakku, kekasih kita, Rasulullah dan para sahabat juga diuji. Allah berikan kita ujian untuk menjadikan kita lebih kuat, supaya dapat menghadapi ujian yang lebih besar pada masa hadapan. Penapisan (intiqa’) kan berlaku dengan ujian? Sahabat diuji dengan peristiwa isra’ mi’raj. Ketika itu, terbuktilah siapa yg benar-benar beriman, siapa yang tidak. Begitu juga kita, barangsiapa yang beriman, dia akan lulus ujian, barangsiapa yang tidak, kita doakan kebaikan dan hidayah untuknya. Mungkin ada yang kata, kita bukan sahabat, kita tak mampu melalui semua ini. Tapi, kita juga melalui proses yang sama seperti sahabat kan? Kita semua melalui tarbiyah kan? Yakinlah, Allah takkan menguji melebihi kemampuan kita. Jangan lupa, syurga tu mahal harganya. Tentulah ujian yang perlu dilalui itu setimpal dengan harga syurga.

Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, dan digoncang (dengan berbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, “Bilakah akan datang pertolongan Allah?” Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat. (al-Baqarah 2:214)

Pernah tak terfikir keadaan para sahabat ketika bertemu dengan Allah nanti? Tatkala mereka gah menayangkan tubuh yang hancur, menunjukkan luka-luka tusukan pedang, berbangga dengan kesyahidan mereka, apakah yang mahu kita persembahkan di hadapan Allah? Apakah bukti kita berjuang menegakkan agama-Nya? Sejauh manakah kita berusaha mempertahan syariat-Nya? Badan kita sangat sihat, tanpa seguris calar pun! Paling maksimum, kita cuma penat, sekadar penat. Apakah yang telah kita lakukan? Hatta menyampaikan dakwah dengan kata-kata pun sangat payah bagi kita. Berkorban masa yang sedikit pun kita tidak mampu. Tidak malukah kita dengan para sahabat nanti? Mengaku rindukan Rasulullah, mahu mencontohi Rasulullah, tapi di manakah buktinya?

Buat akhirnya anak-anakku, teruskan bekerja. Doa Ibu sentiasa bersama kalian. Semoga Allah memberi kekuatan untuk kita terus berjihad di jalan-Nya.

Dan katakanlah, “ Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, (begitu juga) Rasul-Nya dan orang-orang mu’min, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah ) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (at-Taubah 9:105)

Jangan lupa kekalkan senyuman manis anak-anak dan mulakan setiap langkah dengan bismillah. Semoga Allah menjaga kalian.

Rindu yang semakin memberat,
Cinta yang semakin mendalam,
Ibu Singa

Tuesday, February 24, 2009

Jadi Pecinta

Alhamdulillah, selesai OSCE Paeds siang tadi. Masih berbaki satu OSCE sebelum final 9 minggu lagi. Saya menjenguk blog kawan-kawan, ramai dah 'hibernate' sampai final nanti. Saya pula tiba-tiba semangat untuk menulis.

Alhamdulillah, banyak perkembangan positif berlaku di sekeliling saya akhir-akhir ini. Saya yang pada mulanya berhajat untuk membekukan diri dari sebarang aktiviti, akhirnya terpaksa mengalah. Nikmat Allah datang mencurah-curah. Sangat rugilah andai saya melepaskannya kerana konon-kononnya mahu fokus kepada peperiksaan. Kalau nak diikutkan, keputusan peperiksaan tu dah wujud pun sebelum saya lahir lagi, apalah yang nak dirisaukan sangat. Tapi, itulah manusia.

Antara perkara yang bermain-main di hati - saya sangat rindukan anak-anak singa. Kata orang, absence makes heart grow fonder. Moga-moga entry ini berjaya menjadi pengubat rindu saya pada kalian. Terimalah, entry khas buat anak-anak singa dan sebagai peringatan buat diri sendiri.

Berbicara tentang rindu, tentu tak lepas daripada soal cinta. Pernah dengar tak orang kata, MURABBI MESTI MENJADI PECINTA. Tapi, kepada siapa? Tentulah kepada mutarabbinya. Hmm, sebab kita berdakwah dan mentarbiyah kan dengan kasih sayang? Pernah tak tengok orang bercinta? Dia akan cuba menyukai apa yang pasangan dia suka. Dia akan cuba mencari sebanyak mungkin maklumat tentang apa yang temannya gemari. Maka, sepatutnya kita pun begitulah. Tapi, selalunya yang berlaku adalah sebaliknya,
"Janganlah minum kopi depan akak. Kan akak cakap akak tak suka bau kopi."
"Dah banyak kali akak cakap, awak tak ingat ke?"
"Awak ni tak reti-reti ke nak basuh pinggan lepas makan?"

Huhuhu. Apa perasaan kita kalau orang cakap macam tu? Benda kecil pun nak dibesarkan. Kita selalu nak orang ingat apa yang kita tak suka, tapi jarang nak ingat tentang orang lain. Bukankah seorang pecinta itu menerima buruk baik yang dicintainya dengan hati terbuka? Seperti kata orang, unconditional love, tidak mengharapkan balasan. Barulah jadi 'mencintai saudara seperti mencintai diri sendiri'. Kita sayang diri sendiri ada harapkan sesuatu ke? Dengan itu, akan lahirlah berlapang dada, ithar dan lain-lain. Maka, adalah lebih wajar kakak-kakak (baca:murabbi) yang lebih proaktif dalam menjaga hubungan, memaafkan kesalahan adik-adik (baca:mutarabbi) yang mungkin tersilap, terlupa atau tak sengaja.

Em, mesti orang kata, "susahnya nak jadi kakak." Betul. Bukan mudah menjadi seorang kakak, perlu bersedia menerima macam-macam, samada daripada adik-adik mahupun orang lain. Mungkin ada adik-adik yang tak puas hati dengan kakak-kakak, kenapa kakak dia tak macam kakak orang lain. Mungkin juga ada orang lain yang menyalahkan kakak-kakak atas kesilapan adik-adik, kakak tak pandai didik adik. Semua tu normal. Jadi kakak memang macam tu, kena banyak sabar, mesti sanggup berkorban, makan hati, terasa, kena sindir, orang buat tak tau, merajuk tapi takde orang nak pujuk dan seterusnya. Saya setuju, spesies ni memang susah nak jumpa, pelik, tapi mereka wujud dan kita akan berusaha untuk menjadi mereka.

Kakak-kakak pun perlu tabah dan jangan mudah kecewa dengan adik-adik yang 'kurang menjadi'. Terdengar suara-suara,
"Dah banyak kali saya cakap elok-elok, dia bukannya nak dengar."
"Dah lama saya cuba, dia masih tak berubah."
"Penat dah saya ulang, dia macam tu jugak."
"Berbuih dah mulut saya ni, dia tak makin baik pun."
Takpe, teruskan je sebab kita tak tahu bila Allah akan buka hati dia, bila dia akan tersentuh dengan kata-kata kita. Tapi, janganlah ulang macam burung kakak tua tu. Luahkan dengan penuh kasih sayang, ok? Kita perlu meletakkan diri di tengah-tengah masyarakat adik-adik untuk lebih memahami mereka, kena 'pakai kasut mereka.' Hmmm.... nama pun adik-adik kan, memangla macam tu. Kena pimpin tangan ke mana-mana, kena teman sentiasa (macam orang bercinta), kena bagi nasihat selalu, kena peringat selalu, kena rajin ulang. Kalau tak, mesti nama dia kakak-kakak. Hehehe. Bina terus hubungan dan beri masa pada mereka. Masa sebahagian dari penyelesaian. Mungkin sehari, seminggu, sebulan, setahun, sepuluh tahun. Hanya Allah yang tahu. Sabarlah. Itulah sunnah dakwah, memerlukan masa yang lama. Jangan mudah putus asa.

Walau sesusah mana pun untuk menjadi kakak, kita kena cuba dengan kemampuan yang kita ada. Buat kerja dakwah dan tarbiyah ni memang macam tu. Awal-awal memang kita sendiri pun rasa kekok, rasa tak mampu. Tapi, kena usaha juga. Jangan takut untuk buat silap, sebab kita pasti buat silap sebelum berjaya. Kadang-kadang kita terlalu banyak salah tingkah sampai tak tau nak buat apa dah, tapi kena buat juga. Salah tingkah pun salahlah, jangan tak buat langsung. Yang lain, biar Allah buat. Samada nak buka hati adik-adik untuk kita atau tidak, semua tu serah pada Allah. Kalau kita tak nak buat kerja ni, Allah akan bagi kat orang lain. Allah tak rugi apa-apa pun sebenarnya.

Mungkin ada orang akan kata, kita bukanlah orang yang paling layak untuk membimbing.
"Ala diri sendiri pun tak settled, nak tegur-tegur orang."
"Macamla dia tu baik sangat, nak baiki orang lain konon."
Secara zahirnya, memang begitu. Tapi, kalau kita teliti dalam-dalam, sebenarnya golongan yang cuba untuk menjadi kakak ni berada dalam situasi mujahadah dalam mengislah diri sendiri dan pada masa yang sama, walaupun diri sendiri banyak kekurangan, tetap mencuba untuk mengislah orang lain (semoga kita termasuk dalam golongan ini). Kalau kita bandingkan dengan orang lain yang tak pernah prihatin dengan pengislahan diri sendiri, apatah lagi dengan pengislahan orang lain, mana lebih baik?

Di sini, saya ingin simpulkan semua yang saya bebel panjang-panjang dengan satu ayat al-Quran, surah al-Maidah 5: ayat 54. Kalau malas nak baca yang saya taip kat atas tu, boleh baca ayat ni je, lebih ringkas, lebih padat dan lebih indah.

"Wahai orang-orang yang beriman! Barangsiapa di antara kamu yang berpaling dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum, Dia mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, dan bersikap lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman, tetapi bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itulah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), Maha Mengetahui".

Buat anak-anak singa, maafkan akak belum mampu jadi pecinta sempurna. Jom sama-sama kita saling cinta-mencintai dan menjadi kakak yang baik.

Friday, January 09, 2009

Setahun berlalu

Alhamdulillah, selamat kembali ke Jordan. Ramai yang dah buat blog, bagus2. Tapi, saya tak pandai nak menulis seperti mereka. Maka, saya cuma sertakan nukilan saya masa muda-muda dulu. Teringat adik-adik yang bakal bercuti tak lama lagi. Bittawfiq wannajah fil imtihan.

Bulan September. Tahun akademik pun bermula. Malas rasanya mahu ‘bekerja’. Baru panas enjinlah kata. Cuaca pula sejuk tak terhingga. Duduk dalam selimut lagi aku suka. Ramadhan yang hadir pun, hampir-hampir dilupa. Kedatangannya dibuat sambil lewa. Pulanglah ia dengan hampa. Amalan hamba-Nya tak setara mana. Tapi, jangan sebut pasal raya, tak pernah lekang dari kepala. Setiap hari kalendar ditanda, “emm, raya dah tak lama lagi rupanya.” Sedar-sedar, imtihan awwal menayang muka. Baru kelam-kabut mahu buat semua. Tup-tup, imtihan thani kat depan mata. Masa tu, dah tak boleh nak kata apa.

Raya Haji dah dekat ni. Baju belum jahit labuci, mana sempat nak buat kuih lagi. Banyak betul agenda peribadi kalau ikut kehendak hati. Hal orang lain tidak dipeduli. Apa nak jadi, biar jadi. Asalkan raya ni, aku happy. Yang lain-lain, tolak tepi. Hari Raya yang dinanti, dirai dengan sepenuh hati. Rakan taulan maaf-memaafi. Ziarah-menziarahi menjadi tradisi (ke open house sahaja yang dicari?).

Duduk tak lama, imtihan nihaie pula tiba. Habis satu fasallah jawabnya. Satu fasal tu sebenarnya, taklah lama mana. Adalah dalam empat bulan sahaja. Tolak hari-hari periksa, dah tinggal berapa? Pandai-pandailah kira ya.

Eh, hari ni dah mula cuti. Jadual penuh dengan aktiviti. Masa cuti tidak dirugi. Ihya’ Sunnah nama diberi, qiam jama’ie semua siswi. Program IMAD memperkenal diri. Ilmu, bakat, seni, semua diuji. Semua siswi diselubung ngeri. Mahu menjadi peserta disegani. Alhamdulillah, cuti terisi, tak dibaziri.

Tiga minggu berlalu tanpa disedari. Kini fasal thani sudah kembali. Buku-buku baru menghias almari. Tujuh madah bakal dipelajari. Hati dipenuhi semangat dan motivasi. Semua organisasi sibuk sekali. Menyusun aktiviti untuk ahli. Sebelum imtihan sebulan sekali menghadir diri. Aku turut tak terkecuali. Menjadi AJK dua organisasi, masa perlulah bijak dibahagi. Program yang diatur, sebaiknya cuba direalisasi. Tu pun ramai yang berbunyi-bunyi. Kenapa tak buat masa cuti? Cuti sudah penuh terisi, kat mana nak selit lagi?

Tengah seronok 'bekerja' laju, imtihan awwal datang memburu. Dalam fatrah tu, tiada siapa mahu diganggu. Semua program terpaksa dibeku. Tersekat antara batas waktu. Masuk dewan, pandangan kelabu. Kepala otak terasa dungu. Ha, siapla masa tu. Baru menangis tak berlagu. Itulah, dulu-dulu asyik dok merapu. Seronok main, mengaji tak mahu. Sekarang baru nak tersedu.

Kurang 30 hari, imtihan thani menunjuk diri. Semua makin sibuklah masa ni. Makin banyak perlu diulangkaji. Kadang-kadang sampai setengah mati (exaggerate je ni). Pejam celik pejam celik, imtihan nihaie menjengah lagi. Aku melekat di bilik sendiri. Nak keluar rumah pun tak berani. Tak jumpa orang berhari-hari. Setiap hari asyik makan roti. Serunding dalam laci dah tak berbaki. Inilah padah last minute study.

Cuti tiga minggu tidak dipersia. Melawat kawan di luar negara. Sudah bertahun tidak bersua. Apa salahnya pergi menjenguk bertanya berita. Tengok-tengok keadaan orang di sana. Balik nanti bawa cerita. Buat pengajaran kawan semua.

Fasal soifi datang bertandang. Malammya hitam, dihiasi bintang. Masa siang panas membahang. Pernah sampai 50 darjah, tapi jarang. Musim ni orang cepat naik berang. Baru tegur sikit, dah nak meradang. Imtihan dua minggu sekali buat orang bengang. Janganlah cuba nak mengacau orang. Tak pasal-pasal ada yang kena karang.

Cuti sebulan dimanfaat sebaiknya. Hari ni last paper, esok terus kupulang ke Malaysia. Hanya beberapa kerat yang masih ada. Menyambut adik-adik baru tugas mereka. Masa ni, sibuk cari rumahlah kerja. Lepas tu, kena beli barang rumah pula. Akhirnya, tahun akademik baru pun bermula. Segalanya berulang seperti yang tertera. Setahun berlalu sia-sia, tiada makna.

Terfikir-fikir juga tiket masuk syurga nak beli bila? Peruntukan yang ada masih banyak kurangnya. Asyik sibuk urusan dunia. Takkan habis sampai hujung nyawa. Hmm, kalau tiket pun tiada, usah ditanya persiapannya. Jangan asyik dibuai lena. Kita alpa, musuh ketawa. Kita leka, syaitan gembira. Pantang lepa, buruk padahnya. Usah dibiar tragedi sama berulang semula. Jangan diizin perangkap serupa menjerat kita.

Bukan sengaja mereka cerita. Bukan sekadar suka-suka. Peringatan buat diriku yang sering lupa. Jangan suka buat alasan saja. Ingat senang ke nak masuk syurga? Nanti Allah tanya, nak jawab apa? Takkan cuma mahu ternganga? Na'uzubillah.