Friday, September 26, 2008

Dakwah itu seni

Bismillah
Ramadhan berbaki empat hari. Selepas itu, semua tawaran akan berakhir. Syaitan akan dibebaskan kembali. Apakah peluang yang berjaya kita rebut dan apakah peningkatan yang berlaku dalam diri kita? Jom muhasabah diri sebelum Ramadhan pergi.

Cuti Aidilfitri sudah bermula. Peluang untuk meningkatkan ibadah diguna sebaiknya. Program iftor pun sangat banyak menjelang akhir Ramadhan ni. Barulah berkesempatan berjumpa adik-adik yang begitu lama bercuti di Malaysia. Sebenarnya, saya sangat cemburu dengan mereka. Berpeluang mengikuti berbagai-bagai program di Malaysia yang selalunya saya hadiri sejak beberapa tahun lalu. Inilah kali pertama saya tidak pulang ke Malaysia pada cuti musim panas.

Saya masih ingat lagi pengalaman berharga pada musim panas tahun lepas. Saya begitu sibuk dengan program dan aktiviti di Malaysia. Seorang ukhti dari Pantai Timur tiba di stesyen bas pada pukul 5 pagi dan saya perlu menjemputnya sebelum kami ke program bersama-sama. Sungguh mendebarkan kerana saya sangat jarang memandu pada waktu malam, apatah lagi pada dinihari. Seorang ukhti lain tumpang bermalam di rumah saya sebelum ke program sedangkan seumur hidup saya, tak pernah ada kawan yang bermalam di rumah saya. Saya juga menjadi tourist guide kepada seorang kawan yang datang dari Kelantan bersama kakak dan adiknya. Selain itu, saya berkesempatan bertemu kawan-kawan sekolah lama yang sudah bertahun tidak bersua. Saya turut menyertai perkhemahan yang begitu menyeronokkan kerana perkhemahan terakhir saya ialah enam tahun lalu.

Jadual saya begitu padat. Itupun ada beberapa perkara yang tidak sempat saya lakukan dan ada beberapa orang yang tidak sempat saya jumpa. Mungkin emak saya melihat saya sangat aktif ke sana sini. Hari ini jumpa orang ini, esok jumpa orang itu. Tiba-tiba, emak saya berkata: "Ajarla Mama macam mana nak buat dakwah." Saya terkedu. Tak tahu apa yang perlu saya katakan. Terharu pun ada. Rupa-rupanya emak saya sering memerhatikan pergerakan saya. Saya selalu memberitahu emak bahawa saya ke program dakwah, tapi saya tidak menyangka sama sekali dia akan berkata sedemikian.

Sebenarnya, ramai orang seperti emak saya. Bersemangat untuk berdakwah, tetapi tidak tahu caranya. Hakikatnya, dakwah adalah seni. Tiada satu pun cara sempurna untuk melakukannya. Cuma jangan lupa ikhlaskan niat dan lakukan dengan penuh kasih sayang. Kepada yang bertanya, semoga berjaya!

Tuesday, September 02, 2008

Ramadhan kembali

Alhamdulillah, Ramadhan kini kembali. Membawa bersamanya rahmah dan barakah buat hamba-Nya. Bulan di mana syaitan-syaitan dirantai, pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka. Peluang untuk kita kembali kepada-Nya, bersama-sama menyertai pesta ibadah yang meriah. Setiap amalan digandakan ganjaran

Alhamdulillah, tahun ini saya masih berpeluang menikmati Ramadhan di bumi Jordan. Suasana Ramadhan berbeza berbanding hari biasa, sebagai contoh, waktu bekerja akan tamat pada pukul 2 petang berbanding pukul 5 pada hari biasa. Di tepi-tepi jalan kelihatan gerai-gerai menjual qutayyef dan air tamarhind.

Bersiap menuju ke masjid untuk terawih, terasa syahdu. Bau telekung yang baru dikeluarkan dari almari sangat menyentuh. Perjalanan ke masjid mengimbau kenangan. Setibanya di masjid, senyum mekar di bibir. Mendengar bacaan imam menggetar hati. Perasaan bercampur-baur. Baru tersedar, rupa-rupanya saya sudah lama tidak ke masjid. Sudah lama tidak solat di masjid. Walaupun di Jordan ni terdapat begitu banyak masjid, jarang sekali saya singgah. Teringat zaman sebelum ke Jordan, pergi terawih bersama ibu. Pulang ke rumah, kami akan menikmati moreh bersama-sama.

Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya. Semoga Madrasah Ramadhan akan dapat mentarbiyyah kita hingga kita berjaya 'graduate' dengan ijazah keredhaanNya.

Saturday, August 23, 2008

Ikatan Hati

Setelah lama tidak menjenguk ke blog, tergerak hati untuk membuka blog lama. Terjumpa antara entry yang saya suka. Bukan suka kerana saya adalah penulisnya, tetapi kerana ia dapat mengingatkan saya perkara-perkara yang saya sering lupa. Moga kalian turut mendapat manfaat daripadanya.

Didedikasi khusus buat sahabat-sahabat dari Dublin, Cork, Galway, Manchester, Sheffield, Australia, UKM, Malaysia, Brunei, dan lain-lain (maaf kalau ada yang tak dapat disebut). Kalian tetap di hati. Miss all of you so much! Terimalah tandahati yang tak seberapa ini daripada teman kalian di Jordan.

Malam itu, aku memberanikan diri mendail nombor telefon rumahmu. Dadaku berdebar-debar tatkala mendengar suaramu di hujung talian. Takut menghadapi reaksi yang bakal kau berikan. Mujur kau tenang mendengar bicaraku. Namun, ketegasanmu menggugat keberanianku. Janji diikat, pertemuan diatur. Aku lega, alhamdulillah. Setelah empat tahun mengimpi, kini bakal menjadi realiti. Mungkin Allah sengaja mahu menguji, keyakinan sekeping hati, akan janji Ilahi.

Pagi itu sungguh hening dan damai, sedamai hati ini. Kunanti detik teristimewa itu dengan penuh kesabaran. Kicauan beburung seakan memujukku agar tidak cemas. Kau kulihat tersenyum dari jauh. Aku membalas senyumanmu yang membuahkan kemesraan antara kita. Maka bermulalah detik-detik terindah itu. Kau menghampiriku, lalu memberi salam. Aku pantas menjawab dan kita berjabat tangan. Kau memohon maaf atas keterlewatanmu. Aku sekadar tersenyum. Kehadiranmu sudah cukup untuk membuatkan aku terlupa tentang waktu.

Aku banyak mendiamkan diri, lebih senang melihat bibir comelmu meluahkan kata, lebih suka merenung matamu yang dihiasi bunga-bunga keriangan. Tutur katamu penuh hikmah, sarat dengan semangat dan padat dengan penyubur nurani. Sangat menyentuh hati. Sesekali kau tertawa, menerbitkan perasaan gembira di jiwa. Alangkah bahagianya tika ini. Walau baru seminit dua bertentang mata, terasa bagai telah mengenalimu bertahun lamanya. Aku memerhatikanmu dari atas ke bawah. Kau kelihatan sungguh cantik berblaus biru tua yang bersulam di hujung baju, berseluar slack dan bertudung Turki warna senada. Simple, tapi cukup menarik.

Tanpa disedari, kita tiba di destinasi. Berat hatiku mahu menyusun langkah. Masa terlalu mencemburui kita. Belum puas rasanya mendengar bicaramu. Walau baru pertama kali bertemu, bagai ada simpulan yang mengikat kita. Di luar, kelihatan sudah ramai sahabat yang menunggu. Nampaknya, kita sampai tepat pada masanya.

Sebuah banglo satu tingkat tersergam indah di hadapanku. Kolam renangnya yang membiru, beralun tenang disapa angin. Menggamit hati untuk segera mendekatinya. Bagai ada satu kuasa yang menarik-narikku ke arah banglo itu. Tiba-tiba, langkahku terhenti. Aku terpana. Kehilangan kata-kata. Memori silam bagai diselak. Aku cuba mengingati sesuatu. Ya, aku pernah ke banglo ini! Walaupun warna catnya sudah luntur, pagarnya sudah berkarat, tapi aku masih ingat lagi. Aku pernah ke sini enam tahun yang lalu. Ketika aku mula-mula belajar erti perjuangan. Di sinilah aku tercampak. Belajar bertatih, mengatur tapak, sebelum berlatih berjalan, dan akhirnya mampu berlari, insya Allah.

Dan kali ini, banglo ini sekali lagi mencatat sejarah, menyaksikan pertemuanku dengan tiga tokoh teragung dalam hidupku. Walaupun bagi orang lain mereka cuma insan biasa, bagiku merekalah murabbi hati dan jiwa ini. Hampir empat tahun tidak bertemu. Rasa rindu di dada bagai membuak-buak apabila melihat wajah mereka. Terasa bagai ingin mengalirkan airmata apabila wajah-wajah itu masih mengenali diriku, masih sudi menghadiahkanku seraut senyuman.

Dari jauh kelihatan Tokoh H hadir bersama isterinya. Beliau masih seperti dahulu, masih bersemangat dan bertenaga. Beliau mengenaliku ketika aku baru sahaja melihat dunia ini. Beliau juga pernah mendukungku ketika aku masih kecil. Namun, aku baru sahaja menyedari kewujudannya kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Dilihat dari segi pemakaian dan perwatakan beliau, tiada siapa akan menyangka, beliau mempunyai ijazah dalam bidang kejuruteraan. Aku suka mendengar bicaranya, mampu membangkitkan semangat manusia, berkuasa mengejutkan yang terlena. Beliau telah membuka mindaku, melapangkan hatiku. Dunia ini bukanlah sekadar yang dapat dilihat dengan mata kasar. Aku mulai sedar, kita hidup bukan untuk diri sendiri, usia bukan penghalang untuk berjuang. Beliau pernah mengingatkan, ‘output tanpa input akan menjadikan kita kontang.’

Tokoh R masih petah berbicara, Seperti biasa, kata-katanya pasti tidak berjaya membuatkan aku mengantuk apatah lagi tertidur. Beliau hadir dalam hidupku ketika aku baru melangkah ke alam menengah. Banyak yang diajarkan kepadaku. Tanganku dipimpin, langkahku dibimbing. Menjadikanku cekal, mampu berdikari. Lima tahun menjadi anak didiknya, saat terindah dalam hidupku. Memberi tunjuk ajar dan nasihat dalam setiap tindakan yang bakal kuambil. Beliau terlalu mengambil berat akan diriku. Cukuplah sekadar “kenapa ni?” lahir dari mulut beliau, aku pasti menghamburkan air mata, sangat terharu. Setiap kali bertemu empat mata dengannya, berbincang soal perjuangan, air mataku pasti menitis. Nyata, begitu tinggi harapannya padaku. Dan aku? Aku langsung tidak layak memikul tanggungjawab itu. Maafkanku kerana menghancurkan harapanmu. Aku akan sentiasa ingat pesan beliau, ‘apa yang paling berkesan dalam tarbiyah adalah kebersamaan.’

Tuturnya yang istimewa, membuatkan aku kagum. Butir bicaranya seolah-olah dihafal dari buku satu persatu. Mendengar ceritanya bisa membuatkan aku terlupa berada di dunia. Kisah-kisah pejuang Islam yang sering diperdengar, seakan azimat buat meniti bara api sepanjang jalan perjuangan ini. Beliau banyak memberikan peluang kepada anak-anak didiknya menyuarakan pendapat. Kami terasa dihargai diberi peluang sebegitu. Terima kasih… Tokoh Z kukenali ketika usia mula menginjak dewasa, saat jiwa remaja suka memberontak. Ketegasannya sering membuatkan kedegilanku memuncak. Pernah kuingkar titahnya lantaran amarah yang melonjak. Betapa ketika itu aku gagal bertindak bijak. Aku menyesal. Aku memohon maaf atas keterlanjuranku itu. Harapanku agar beliau maafkan. Memetik kata-kata beliau tempohari, ‘berilah supaya dapat diambil manfaat oleh orang lain, tanamlah supaya dapat dituai oleh orang lain, dan penatlah supaya orang lain dapat rehat.’

Aku sungguh gembira dengan pertemuan semula ini. Aku berharap mereka dapat mendengar suara hatiku. Entah mengapa, setiap kali berhadapan dengan mereka, lidahku menjadi kelu. Tak sepatah pun bisa terucap, tiada satu kalimah pun dapat diluah, walaupun dalam hati, banyak yang ingin kukatakan. Segankah aku? Aku terlalu ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala yang mereka curahkan. Aku juga ingin memohon ampun dan maaf atas kesalahan dan kesilapan yang dilakukan.

Eh, hampirku terlupa tentangmu. Maafkanku, teman. Pabila berbicara tentang tokoh-tokoh yang kukagumi, kadang-kadang aku menjadi terlalu asyik. Petang itu, kau kelihatan sangat gembira berenang bersama teman-teman. Gelagatmu banyak mebuatkan aku tertawa. Aku malas mahu membasahkan baju, sekadar bersantai di tepi kolam sudah memadai. Melihat keriangan kalian, bersembang bersama teman-teman akan pengalaman perjuangan, aku menyedari betapa banyaknya nikmat yang Allah kurniakan. Aku bersyukur diberi peluang menjejakkan kaki ke sini lagi. Aku bersyukur dapat mengenali kau dan sahabat-sahabat kita, alhamdulillah.

Masih jelas terbayang di ruang mata, kita mengambil giliran untuk berwudhu’. Senja itu, aku mendapat giliran terakhir menjadi pengguna bilik air. Alangkah sedihnya terpaksa masbuq di saf terakhir di belakang imam. Selesai solat Maghrib berjemaah, kita membaca ma’thurat dalam halaqah. Menghidupkan sunnah Rasulullah, itulah manhaj kita ditarbiyah. Sementara menunggu waktu Isyak, kita bertilawah al-Quran. Suaramu yang merdu mengalunkan kalamullah, terasa menusuk ke kalbu. Kau memperbetulkan bacaanku. Terasa sudah lama aku tak ditegur begitu. Aku terlalu rindu suasana yang indah ini. Hidupku kini dikelilingi orang yang nafsi-nafsi. Aku lemas, aku rimas. Selepas menunaikan solat Isya’, kita bersalam-salaman, memohon kemaafan atas kesilapan.

Tiba saat menjamu selera, satu talam kongsi berlima. Seorang membaca doa, yang lain mengaminkan, mula makan bersama-sama. Semua senyap tanpa suara, menikmati hidangan yang tersedia. Sesekali terdengar derai ketawa pabila ada yang membuat jenaka. Kala ini, kehangatan ukhuwwah begitu terasa. Walau sekadar berlaukkan ikan kering atau sambal telur, sudah terlalu lazat buat kita. Kita sedar, masih ramai lagi saudara kita yang kebuluran, tidak dapat menjamah walau sebutir nasi pun dalam sehari.

Pada akhir malam yang tenang itu, kau mengejutkanku dari lena dibuai mimpi. Berat hati meninggalkan selimut dan bantal yang empuk. Tetapi, segeraku teringat kata-kata yang terkesan di hati, ‘sejarah tak pernah melahirkan tokoh-tokoh kecuali oleh madrasah qiamullail.’ Pantas aku bangkit membersihkan diri, kita qiam jama’ie. Solat tahajjud, witir, melupakan sejenak urusan dunia. Nikmat qiamullail memang tak dapat ditafsirkan dengan kata-kata. Sungguh syahdu, sungguh manis. Saat bertemu ar-Rahman di kala orang lain berdengkur.

Banglo ini menyimpan seribu kenangan, terlalu bermakna buatku. Di sini kita ditemukan, di sini kita menjalin ukhuwwah. Andai dulu aku pernah ke sini untuk belajar mengutip mutiara, kini aku ke mari untuk menggilap mutiara itu agar tidak pudar ditelan usia. Aku pasti akan kembali lagi satu hari nanti, bagi memastikan mutiara ini diwarisi, insya Allah.

Terasa cepat benar masa berlalu. Banglo ini harus ditinggalkan. Perjuangan perlu diteruskan. Pertemuan kita perlu menemui noktahnya. Masa untuk memberi pamitan menjelang tiba. Waktu untuk mengucapkan selamat tinggal hampir menjelma. Tetapi, tidak ikatan hati kita dan ingatan kita antara satu sama lain. Walau kita terpisah beribu-ribu batu namun, jauh di mata, dekat di hati. Aku yakin, kita pasti bertemu kembali. Andai tidak di dunia, aku berdoa kita ditemukan di syurga. Ameen.

Sahabat, memori kita bersama pasti kuabadikan untuk selamanya. Kenang daku dalam doamu. Aku memohon kepada-Nya, semoga ukhuwwah yang didasari ikatan aqidah ini terus mekar dan subur untuk selama-lamanya dengan disirami redha Allah. Alangkah indahnya ukhuwwah yang terbina. Betapa manisnya silaturrahim yang terjalin. Yakinlah, walau kita tak sehaluan, kita masih seiringan, matlamat kita tetap satu. Akhirnya, buat sahabat, ‘perjalanan ini masih jauh, selagi nadi masih berdenyut, selagi jantung masih berdegup, selagi darah masih mengalir, selagi nafas masih berhembus, selagi mata masih berkelip, teruskan perjuangan.’ Inni uhibbukum fillah.


Diadaptasi dari sebuah kisah benar,
‘banglo itu’,
bumi K,
Jun 2005.

Thursday, May 22, 2008

Dengkinya saya

Saya banyak membaca kisah orang hebat-hebat. Terasa seperti membaca kisah dongeng. Mampu buat itu, sanggup berkorban sebanyak ini, hasil yang mereka perolehi, betul-betul buat saya dengki. Seolah-olah mereka bukan manusia, ya mereka memang luar biasa. Memikirkan masa depan umat lebih daripada diri sendiri. Setiap tindakan mereka untuk kepentingan Islam. Usaha dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Tiada ganjaran yang diharapkan melainkan daripada Allah, benar-benar ikhlas.

Ya Allah, mampukah aku menjadi seperti mereka?

Wednesday, January 16, 2008

Masa berharga

Lama blog ni ditinggalkan. Saya pun kini sudah berada di subjek minor terakhir, Forensik. Orthopedik yang baru sahaja exam Ahad lalu pun sudah keluar markahnya. Tahun Hijri sudah berganti, begitu juga tahun Masihi. Begitu cepat masa berlalu. Perubahan pun banyak berlaku di sekeliling saya.

Guru sekolah menegah saya bertanya, "Umur enti berapa sekarang?"

"Em, tahun ni masuk 2*."

"Oh, besar dah enti ye." Mungkin guru saya terbayangkan umur saya sekarang sama dengan umurnya ketika beliau mula-mula mengajar saya dahulu.

Saya cuma ketawa.

"Enti ada berapa tahun lagi kat sana?"

"Insya Allah setahun setengah lagi."

"Oh, lama lagi tu." Mungkin maksud guru saya, banyak lagi benda yang boleh saya kejar, perjuangkan dan lakukan dalam tempoh tersebut.

Em, saya pun berkira-kira, apakah yang mesti saya capai dalam setahun setengah ni? Jawapan yang ditemui, terlalu banyak. Tukar soalan, yang PALING PENTING? Jawapannya masih banyak. Pinda sikit lagi soalan, yang TIDAK BOLEH TIDAK? Banyak juga.

Baiklah, kita berpindah ke soalan kedua. Apakah yang saya lakukan untuk mencapai matlamat utama? Errr... Apakah usaha saya untuk mendapat apa yang saya mahukan? Hmm... Bagaimanakah caranya untuk memperoleh hasil yang diharapkan? (menggaru2 kepala)

Bagi saya, masa bukan ukuran paling utama. Rasanya, apa yang saya telah lakukan selama setahun lalu lebih banyak berbanding hasil kerja saya selama tiga tahun pertama di sini. Rasa seperti 3 tahun itu tidak bermakna. Kalaulah boleh diulang kembali... Allah lebih mengetahui.

Apa lagi? Jom manfaatkan masa yang ada. Entah-entah saya mati dulu sebelum setahun setengah, sedangkan banyak lagi kerja yang perlu dilakukan. Sama-sama kita saling membantu meringankan kerja satu sama lain.

Perjuangan masih belum selesai