Tuesday, September 02, 2008

Ramadhan kembali

Alhamdulillah, Ramadhan kini kembali. Membawa bersamanya rahmah dan barakah buat hamba-Nya. Bulan di mana syaitan-syaitan dirantai, pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka. Peluang untuk kita kembali kepada-Nya, bersama-sama menyertai pesta ibadah yang meriah. Setiap amalan digandakan ganjaran

Alhamdulillah, tahun ini saya masih berpeluang menikmati Ramadhan di bumi Jordan. Suasana Ramadhan berbeza berbanding hari biasa, sebagai contoh, waktu bekerja akan tamat pada pukul 2 petang berbanding pukul 5 pada hari biasa. Di tepi-tepi jalan kelihatan gerai-gerai menjual qutayyef dan air tamarhind.

Bersiap menuju ke masjid untuk terawih, terasa syahdu. Bau telekung yang baru dikeluarkan dari almari sangat menyentuh. Perjalanan ke masjid mengimbau kenangan. Setibanya di masjid, senyum mekar di bibir. Mendengar bacaan imam menggetar hati. Perasaan bercampur-baur. Baru tersedar, rupa-rupanya saya sudah lama tidak ke masjid. Sudah lama tidak solat di masjid. Walaupun di Jordan ni terdapat begitu banyak masjid, jarang sekali saya singgah. Teringat zaman sebelum ke Jordan, pergi terawih bersama ibu. Pulang ke rumah, kami akan menikmati moreh bersama-sama.

Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya. Semoga Madrasah Ramadhan akan dapat mentarbiyyah kita hingga kita berjaya 'graduate' dengan ijazah keredhaanNya.

No comments: